SIHAT CERGAS

badan cergas banyak duit

Roh Mengenali Mereka Yang Berada di Sekitarnya

Roh Mengenali Mereka Yang Berada di Sekitarnya

Roh Mengenali Mereka Yang Berada di Sekitarnya

SETELAH meninggal dunia, roh akan berada di alam yang baru iaitu alam barzakh yang sangat berbeza keadaannya dengan alam dunia ini. Kita menangis apabila di lahirkan di dunia, begitu juga keadaannya ketika kita kembali menghadap Allah SWT nanti. Sesetengah ulama menyebut: “Jadikanlah waktu kamu dilahirkan dahulu kamu menangis, sedangkan orang lain ketawa melihat tangisan kamu itu. Tetapi jadikanlah saat kematian kamu nanti, kamu ketawa riang kegembiraan, di saat mana orang lain menangis melihat bagaimana kita kembali menghadap Allah.” Amat beruntung sekiranya kita berada di dalam situasi tersebut kerana ia menandakan kita sudah benar-benar bersedia untuk menghadapi kematian.

Walaupun ketika hidup di dunia ini, kita sudah rasakan luas dan kepenatan, namun di alam barzakh nanti, keadaannya lebih besar malah lebih panjang perjalanannya, berseorangan membawa diri menghadap Allah SWT. Aisyah r.a menyebut : “Di waktu mana aku melihat Rasulullah SAW saat baginda menghadap dihadapan Allah itu, aku tidak akan membayangkan lagi saat yang lebih menyenangkan daripada Rasulullah di dalam hidupku untuk aku menghadap di hadapan Allah nanti.” Bahkan waktu Rasulullah SAW hampir wafat, Saidatina Fatimah r.a menangis teresak-esak melihat bagaimana saat sakarat yang berlaku kepada Rasulullah. Lalu baginda menarik Fatimah dan mengucup dahinya dan berbisik sesuatu kepada puterinya itu, kemudian Fatimah tersenyum. Setelah Rasulullah wafat, Aisyah bertanya kepada Fatimah apakah yang dibisikkan oleh baginda sehingga Fatimah tersenyum mendengarnya. Fatimah menjawab, Rasululullah memberitahunya setelah ketiadaan baginda nanti, Fatimah pula akan menyusul baginda. Menurut para alim ulama, selang 6 bulan setelah pemergian Rasulullah, Fatimah pula wafat.

Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, selaku penyumbang tetap bagi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada setiap Khamis jam 5.15 petang, di dalam perjalanan hidup kita akan sampai jua waktu kita kembali menghadap Allah Azza wajalla. Cuma persoalannya sama ada kita bersedia atau tidak untuk menghadapi kematian. Dalam keadaan bersedia menghadapi kematian, kita perlulah berilmu dan mengetahui apakah yang akan berlaku selepas ketiadaan kita nanti. Salah satu ilmu yang perlu ketahui ialah setiap mayat itu mengenali orang di sekeliling dan dapat melihat apakah yang ada di sekitarnya ketika itu. Para ulama berpendapat ada beberapa keadaan ketika roh mengenali apa yang berlaku di sekitarnya iaitu masa yang pertama sewaktu roh dicabut daripada jasad kita.

Masa yang kedua ialah ketika jenazah kita dimandikan dan dikafankan. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Bakar Ibn Abdillah daripada Al-Muzni disebut: “Pernah sampai kepadaku satu berita bahawa tidaklah seseorang itu meninggal melainkan rohnya berada di dalam tangan malaikat maut.” Dalam keadaan ini kita boleh melihat orang lain memandikan dan mengkafankan mayat kita, sementara itu kita juga dapat melihat apakah yang dilakukan oleh anak-anak dan ahli keluarga. Kalaulah pada ketika itu kita mampu berkata-kata nescaya sudah tentu kita akan melarang mereka daripada meratap dan berteriak. Tetapi beruntunglah di saat jenazah kita sedang berada di pembaringan, anak-anak berada di sebelah kita sambil membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah kerana pada ketika inilah kita berharap agar jiwa ini dapat menemui Allah dalam keadaan yang sebersih-bersihnya. Malah pada waktu ini juga kita mengharapkan agar diziarahi oleh mereka yang soleh.

Kita dapat melihat keadaan orang yang membuka kain yang menutupi wajah jenazah kita, merasai orang datang mencium dahi kita dan dapat mendengar apa yang diperkatakan oleh mereka yang berada di sekitar ketika saat jenazah kita dimandikan. Beruntunglah sekiranya dimandikan oleh orang yang soleh dan dari kalangan mereka yang dekat dengan diri kita kerana keaiban diri mula terdedah pada saat itu. Jika keaiban terdedah kepada orang yang tidak dikenali, ia menjadi satu perkara yang tidak baik ke atas diri kita. Menurut Sufian al-Sauri, sesungguhnya seorang mayat itu mengetahui segala sesuatu sampai seolah-olah dia berseru kepada orang yang memandikannya: “Demi Allah, celakalah kamu kerana kekasaranmu, tolonglah lakukannya dengan perlahan-lahan, kerana sakit ketika mengadapi kematian tadi masih lagi dirasai”. Lalu dikatakan kepada mayat yang sedang berada di pembaringan ini, cuba dengarkan orang yang sedang memuji tentang kebaikanmu yang rajin ke masjid, mendengar kuliah, rajin bersedekah, dan rajin membaca al-Quran. Setiap pujian tersebut didengari oleh mereka yang sudah meninggal dunia ini.

Rasulullah SAW berpesan sekiranya ada di antara mereka yang tidak sesuai menziarahi jenazah ini, jangan benarkan dia masuk menziarahi si mati. Contohnya mereka yang berperangai buruk dan keji, maka tidak menziarahi jenazah adalah lebih baik, kerana datangnya tidak membawa rahmat. Tetapi sebaik-baiknya, datanglah orang-orang yang soleh dan membawa kebaikan, kerana mereka ini datang dengan doa dan menyebut: “ Ya Allah tolonglah ampunkan dosanya”, dan setiap kalimah-kalimah yang baik yang diucapkan itu akan diaminkan oleh para malaikat. Namun sekiranya datang mereka yang tidak baik atau musuh kepada si mati ketika hidupnya, mereka akan mengucapkan kalimah-kalimah yang keji, maka adalah lebih baik tidak membenarkan dia berada di sebelah jenazah kerana roh mengenali dan mendengar setiap percakapan mereka yang berada di sekitarnya.

Masa yang ketiga apabila kita dapat merasai dan melihat keadaan yang berlaku di sekeliling ialah saat kita diusung dan dibawa ke tempat pengkebumian atau perkuburan. Abu Said al-Qudri r.a menyebut bahawa ketika jenazah diletakkan di atas bahu orang yang akan mengusungnya, sebaik-baiknya oleh orang yang soleh kerana syafaat dan kebaikan daripada mereka akan turut dibawa bersama-sama kita sewaktu kita menghadap Allah nanti. Apabila diusung, jenazah yang terdiri daripada orang yang soleh akan berkata: “ Bersegeralah bawakan aku ke perkuburan .” Tetapi sebaliknya, jenazah mereka yang buruk amalan dan akhlaknya pula akan berkata: “Jangan cepat-cepat bawakan aku ,aku tidak tahu apakah yang akan berlaku dihadapanku. Celakalah kamu, nak bawakan kemanakah aku ini?’. Suara jenazah didengari oleh semua makhluk kecuali manusia dan jin kerana jika manusia dapat mendengar suara itu, nescaya manusia sendiri akan pengsan.

Umar Ibn Khattab r.a berkata, Rasulullah bersabda: “Tidak ada satu jenazah yang diletakkan di atas pembaringan (kubur), lalu setiap tiga langkah yang terakhir orang meninggalkan kuburnya, melainkan dia akan mengucapkan sesuatu dengan ucapan yang didengari oleh mereka yang dikehendaki oleh Allah kecuali manusia dan jin. Roh berkata, saudara-saudaraku, para pengusung jenazah, janganlah kalian terpedaya dengan tipu daya dunia ini, aku sudah pun terpedaya dengannya. Jangan sampai kalian tertipu sepertiku, jangan pula kalian dipermainkan oleh zaman sebagaimana dia telah mempermainkan diriku.”

Apabila tiba di perkuburan akan berlaku perkara yang baru di dalam hidup kita iaitu himpitan kubur. Kita diingatkan supaya sentiasa berdoa agar diringankan himpitan kubur yang berlaku setelah jasad dimasukkan ke liang lahad yang merupakan kejadian asal kita diciptakan dan ia berbeza dengan azab kubur. Kita akan kembali ke tanah asal tempat kita diciptakan Allah. Tiada siapa yang dapat melepaskan diri daripada himpitan kubur kecuali para nabi dan rasul. Di antara sebab yang paling utama dikenakan himpitan kubur kerana kurangnya rasa syukur dalam kehidupan kita. Bertaqwalah dengan urusan ini kerana ramai di kalangan kita yang meninggalkan doa-doa dan kesyukuran kepada Allah SWT.

Leave a Reply