SIHAT CERGAS

badan cergas banyak duit

Pelaburan Asing Meningkat Ke Merundum ?Ekonomi Malaysia Tenat ?

Pelaburan Asing Meningkat Ke Merundum ?Ekonomi Malaysia Tenat ?

*PELABURAN ASING SEMAKIN MENINGKAT KERAJAAN PAKATAN HARAPAN DISARAN WUJUDKAN DASAR PELABURAN NEGARA*

1. Walaupun baru setahun Pakatan Harapan mentadbir negara, pencapaian ekonomi begitu memberangsangkan pada suku pertama 2019 (1Q19) di mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah berkembang 4.5%, mengatasi jangkaan pakar ekonomi. Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mengucapkan syabas di atas kesungguhan usaha kerajaan Pakatan Harapan memulihkan ekonomi negara setelah setahun mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional.

2. Berdasarkan survei Bloomberg, pakar-pakar ekonomi pada awalnya hanya menjangkakan KDNK negara berkembang sebanyak 4.3% untuk tempoh Januari-Mac 2019. Ada juga jangkaan serendah 3.9%. Namun, ekonomi negara telah berjaya mengatasi jangkaan tersebut, meskipun terus dihimpit dengan impak negatif sektor luaran seperti perang perdagangan US-China dan pertumbuhan ekonomi dunia yang semakin menurun. Untuk makluman, ekonomi serantau seperti Singapura, Indonesia, Korea Selatan, Filipina dan China telah mencatatkan perkembangan yang lebih perlahan pada suku pertama. Walaupun begitu, Malaysia masih menikmati ekonomi yang stabil dan saya yakin Kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan prestasi baik ini.

3. Di samping itu hala tuju ekonomi negara juga berada di landasan yang betul. Sektor pertanian, khususnya, telah melihat pertumbuhan yang cukup baik apabila ia berkembang sebanyak 5.6% pada suku pertama 2019. Ini adalah disebabkan peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah dan getah. Inflasi juga stabil pada hanya 1.6% pada 1Q19. Usaha kerajaan memulihkan tadbir urus korporat dan kedudukan kewangan institut dana awam yang mengalami defisit teruk sebelum ini seperti Felda, Tabung Haji dan sebagainya telah mengembalikan keyakinan pelabur.

4. Malaysia telah mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM21.7 bilion pada 1Q19, iaitu lonjakan yang cukup besar berbanding RM11.2 bilion pada suku pertama tahun lepas. Bukan itu sahaja, nilai pelaburan langsung asing pada 1Q19 adalah lebih tinggi daripada jumlah agregat FDI pada suku kedua, ketiga dan keempat 2018. Para pelabur daripada ekonomi maju seperti Jepun, Austria dan Hong Kong merupakan penyumbang utama di sebalik kenaikan FDI secara mendadak ini.

5. Kejayaan ini dicapai selepas Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing yang diluluskan (approved FDI) terbesar dalam sejarah negara pada tahun 2018. Untuk makluman, nilai “approved FDI” melonjak sebanyak 48% kepada RM80.5 bilion berbanding hanya RM54.4 bilion pada tahun 2017, di bawah pentadbiran Barisan Nasional. Lebih membanggakan, “approved FDI” dalam bidang pembuatan melonjak lebih 100% kepada RM58 bilion pada 2018, berbanding hanya RM21.7 bilion pada 2017. Hampir 70% daripada “approved FDI” dalam sektor ini pada tahun lepas adalah berkaitan projek baharu.

6. Tambahan, Kerajaan Pakatan Harapan telah meluluskan 81 projek FDI yang berteraskan kemahiran dan teknologi tinggi. Projek-projek ini bernilai RM100 juta dan ke atas, dan jika dibanding dengan 2017, jumlah projek telah meningkat sebanyak 43%.

7. Selain daripada itu, dalam pasaran modal Malaysia, negara telah mencatatkan perkembangan yang membanggakan di mana aliran masuk bersih asing bernilai RM13.5 bilion telah dicatatkan pada 1Q19, berbanding aliran keluar bersih RM2.5 bilion pada suku keempat 2018. Perkembangan ini adalah disebabkan lebih ramai pelabur asing yang membeli bon di pasaran Malaysia.

8. Kejayaan Kerajaan Pakatan Harapan dalam meningkatkan pelaburan asing akan memainkan peranan yang sangat penting dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya pekerjaan berkemahiran tinggi. Bukan itu sahaja, ia akan memacu perkembangan Malaysia ke arah menjadi negara industri berteknologi tinggi. Peningkatan FDI secara mendadak ini menunjukkan bahawa keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia telah meningkat secara signifikan selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

9. Kerajaan diharapkan untuk terus meningkatkan inisiatif dalam mengukuhkan ekonomi negara dan meningkatkan pelaburan asing. Sebuah Dasar Pelaburan Negara perlu diwujudkan yang memberi fokus terhadap pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing. Dasar ini perlu menggariskan “gameplan” atau strategi untuk setiap sub-sektor ekonomi seperti minyak dan gas, pertanian, pelancongan, elektrik dan elektronik dan sebagainya. Langkah ini penting untuk memastikan agar keyakinan pelaburan tempatan dan asing dapat terus dibina pada masa akan datang.

10. Selain itu, pelaburan langsung asing diharapkan juga dapat dinikmati oleh semua negeri di Malaysia, termasuk negeri-negeri yang ditadbir pihak pembangkang. Pelaburan asing dan domestik tidak sepatutnya fokus kepada sesuatu negeri tertentu, agar semua rakyat Malaysia dapat merasai kesan positif pelaburan swasta di negara ini. Infrastruktur dan insentif yang sesuai perlu diwujudkan di semua negeri bagi menggalakkan aktiviti pelaburan dalam semua sektor, termasuk pertanian moden.

11. Kerajaan juga disarankan dapat memperkenalkan beberapa inisiatif atau insentif yang baharu untuk meningkatkan penyertaan para pelabur di pasaran saham tempatan. Insentif yang akan diperkenalkan ini harus dipastikan sama ada disambut baik oleh pelabur institusi dan “fund managers” tempatan dan antarabangsa. Selain itu, diharapkan agar niat memperkenalkan sebarang cukai terhadap pasaran saham, jika ada, ditangguhkan sehingga prestasi Bursa Malaysia kembali stabil. Menerusi pendekatan “pro-investor” ini, Malaysia diyakini akan terus kekal di landasan ekonomi yang betul.

*FAIZ FADZIL*
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH
ADUN Permatang Pasir

23 MEI 2019

Leave a Reply