BEDAH BUKU BERSAMA LIYA. BERSYUKUR SAAT DIUJI.

BEDAH BUKU BERSAMA LIYA. BERSYUKUR SAAT DIUJI.

Bedah Buku #1

BERSYUKUR SAAT DIUJI

‘Apa yang akan keluar dari bibir apabila air kopi tumpah sebelum sempat diteguk?’

Mesti ada macam-macam jawapan, kan?

Ok, kita akan dapat ‘jawapan yang sepatutnya’ selepas selesai baca buku ini ☺️.

Buku ini ditulis oleh Prof Muhd Kamil Ibrahim. Liya mula ikut penulisan beliau bermula dengan buku TRAVELOG HAJI: MENGUBAH SEMPADAN IMAN.

Dalam buku Bersyukur Saat Diuji, mata & minda akan terbuka tentang ujian dan ujian sebenar dalam hidup.

Prof Kamil menulis dari hati. Maka ke hatilah mesej itu sampai. Laras bahasa yang digunakan santai mudah difahami. Sepanjang pembacaan terasa seperti seseorang sedang memberi nasihat dengan penuh keikhlasan dalam berbicara. Tahniah Prof.

Bersyukur Saat Diuji mengajak pemahaman tentang;

1. Apakah sebenarnya yang dikatakan ujian buat manusia?

2. Apakah tahap kemampuan yang dikehendaki apabila menghadapi ujian?

3. Apakah kemudahan yang bakal diperoleh di sebalik kesusahan dan kesulitan?

Bemula dengan kisah bagaimana beliau dan keluarga diuji dengan bencana banjir di Segamat pada tahun 2011. Banjir besar yang membawa kemusnahan yang banyak. Kerugian dianggarkan berpuluh ribu. Namun, perkara pertama yang dilakukan apabila sampai ke rumah yang penuh dengan lumpur ialah solat sunat 2 rakaat. Ibrahnya, ujian perasaan diganti dengan ketenangan dan senyum di bibir.

Dan ujian sebenar mula ditunjukkan satu persatu. Antaranya ujian solat berjemaah Subuh di masjid. Ramai yang bersedih dengan ujian bencana banjir, tetapi tidak ramai sedar ujian sebenar ialah selepas banjir. Jemaah di masjid semakin berkurangan. Barangkali penat menguruskan pasca banjir, melayan emosi kesedihan dan keletihan fizikal dan mental. Di sini, ternampak jelas manusia melalui pelbagai fasa ujian. Ada masa kita berupaya melepasinya, ada masa kita tersungkur jatuh.

Dan peranan syukur sangat penting saat diuji. Bersyukur bermakna kita redha. Bersyukur dengan makna menyerah diri kepada Allah Azzawajalla. Bersyukur dalam setiap perkara. Maka penekanannya ialah bersyukur itu sendiri merupakan satu ibadat. Tanpa kita sedar.

Prof ada menyentuh konteks ujian lain yang sangat signifikan dengan realiti hidup. Ujian tidur. Tidur suatu nikmat. Namun isunya, bagaimana tidur boleh menyebabkan manusia tewas menghadapi ujian kehidupan. Tidurlah yang menyebabkan ramai yang terlepas solat Subuh berjemaah. Dan lebih besar ujian tidur apabila langsung tidak bersolat. Bukankah itu ujian yang sebenar?

Ada banyak lagi kupasan ujian daripada sudut pandang Prof Kamil. Dikupas dengan menarik dan penuh tertib. Secara konklusinya, selain redha & bersyukur jika ditimpa ujian, kita kena sabar dan solat. Sabar dengan apa pun ujian dan solat untuk diberi ketenangan dalam menerima ujian secara maksimum. Selepasnya, kita akan nampak ibrah dan manisnya setiap ujian.

Sebagai contoh, asbab bersabar dengan ujian banjir, Prof sekeluarga direzekikan bekerja dan menetap di Madinah. Bergaji lumayan dan dapat mengerjakan umrah setiap dua minggu sekali. Bermulla dengan lintasan impian masa depan sebenarnya, namun Allah kabulkan impian tersebut 4 tahun lebih awal. Allah Allah Allah, manisnya ganjaran di sebalik ujian.

Terima kasih Prof Kamil. Teruskan menyumbang karya yang menginspirasikan kami. Kami doakan Prof & Puan Raudzah Roslan sihat sejahtera dan diberi kelapangan waktu & ilham bernas untuk terus berkongsi ilmu bermanfaat.

Daliya Mat Dari,

Minat Membaca & Review Buku

#LiyaBedahBuku

#BersyukurSaatDiuji

mamiligat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: